Pages

Tuesday, 29 March 2011

Cekur Legakan Penyakit





Nama botani cekur ialah Kaempferia galanga, dan tergolong dalam famili Zingiberacea. Dalam bahasa Thai, cekur dikenali dengan nama Pro hom.

Herba yang tidak berbatang ini tumbuh melebar di atas tanah. Bentuknya seperti kunyit tetapi berwarna coklat kekuning-kuningan. Tumbuhan bersaiz kecil ini mempunyai daun dalam anggaran dua hingga tujuh helai. Daunnya berbentuk bujur tirus, licin dan tersusun dalam pasangan yang bertentangan. Bahagian hujung daunnya agak runcing dan saiznya boleh mencapai 15 sentimeter panjang dan 10 sentimeter lebar.

Selain itu, cekur juga mempunyai bunga berwarna putih keunguan. Pada bahagian rizomnya pula terdapat ubi-ubian berbentuk seakan-akan jari. Apa yang istimewanya tentang tumbuhan ini adalah tentang daun dan akarnya yang mempunyai aroma yang unik serta membangkitkan selera.



Kegunaan

Dalam perubatan tradisional Melayu, rizom cekur sering digunakan sebagai salah satu ramuan untuk mengubati beberapa jenis penyakit seperti kembung perut, batuk, muntah, sakit urat dan beberapa penyakit lain. Caranya adalah dengan memakan bahagian rizomnya secara segar. Ada juga yang minum air perahan rizomnya untuk mengatasi penyakit-penyakit tersebut.

Manakala dalam perubatan tradisional Cina, akar rizom cekur yang telah matang dibersihkan untuk diluntur dengan asap sulfan (sulfan atau sulfur trioxide adalah bahan kimia yang bersifat mengakis dan sesuai dijadikan peluntur) selama sehari sebelum dijemur kering. Rizom cekur tersebut kemudiannya digunakan untuk mengatasi masalah sakit gigi, menghilangkan kelemumur dan membunuh kutu di kepala.

Selain itu, perubatan tradisional Cina turut menggunakan bahagian rizom cekur yang segar untuk mengatasi masalah sembelit, sakit kepala dan membuang angin dalam perut.

Di Indonesia, wanita di sana menggunakan rizom cekur sebagai salah satu bahan dalam pembuatan jamu dan tonik. Bagi melegakan selesema, caranya mudah sahaja; pesakit hanya perlu menghidu bau rizomnya.

Di samping itu, daun cekur banyak digunakan oleh masyarakat tempatan sebagai ulam-ulaman. Orang tua-tua berpendapat bahawa daunnya mampu menambah selera makan.

Selain berguna dalam mengubati penyakit tertentu, cekur turut bermanfaat untuk wanita selepas bersalin. Rizom cekur dipercayai dapat menghangatkan bahagian perut, mengurangkan bengkak, kebas otot dan menyembuhkan luka di dalam perut.

Malah amalan meminum air asam jawa bersama campuran cekur sepanjang tempoh berpantang mampu mengempiskan perut.

Bagi ibu-ibu yang mengalami masalah kekurangan susu badan pula, anda boleh mengambil inisiatif dengan mengamalkan makan cekur bersama kunyit dan pucuk betik. Amalan ini berupaya menambahkan kuantiti susu badan anda.

Info penting

1. Mereka yang ingin mengamalkan pengambilan pokok cekur sebagai sebahagian bahan dalam tonik dan jamu, dinasihatkan supaya merujuk kepada ahli botani yang diiktiraf terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya hal-hal yang tidak diingini.

2. Pesakit dinasihatkan agar menghentikan pengambilan rizom cekur jika berlaku kesan buruk pada kesihatan selepas pengambilan herba ini. Segera dapatkan rawatan di hospital atau klinik yang berdekatan untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

3. Awas! Bagi mereka yang tidak gemar memakan tumbuhan herba, rasa cekur amat pahit.

No comments:

Post a Comment