Pages

Tuesday, 9 August 2011

Resepi Nasi Dagang


Bahan-bahan:
5 cawan beras nasi dagang ATAU (3 cawan beras pulut + 2 cawan beras biasa)
2 cawan santan pekat
4 cawan santan cair
2 sudu besar halba
10 ulas bawang merah kecil, mayang halus
6 ulas bawang putih, mayang halus
1½ inci halia, dihiris halus (seperti batang mancis)
Garam dan gula secukup rasa.

Cara menyediakan:
• Didihkan air didalam periuk kukusan
• Gaul beras dan santan cair dengan sedikit gula dan garam
• Alaskan kukusan dengan kain kapas yang bersih (seelok-eloknya dua inci melebihi paras bekas pengukus
• Masukkan beras yang sudah bersantan kedalam pengukus dan kukus sehingga beras masak
• Keluarkan beras yang sudah masak, masukkan ke dalam sebuah mangkuk besar
• Semasa masih panas panas, gaul rata-rata dengan santan pekat (masuk sedikit-sedikit), bawang merah, bawang putih, halia dan halba. Sesuaikan gula dan garamnya.
• Hidang panas-panas bersama kuah dan sambal kelapa.

Gulai ikan tongkol (atau ayam) untuk nasi dagang

Bahan A
Dua ekor ikan tongkol sederhana besar
5 keping asam gelugor
2 inci halia, ditumbuk kasar
3 ulas bawang merah kecil, ditumbuk kasar
3 ulas bawang putih, ditumbuk kasar
Sesudu makan garam dan sesudu teh gula
Air untuk merebus (sekadar menutup ikan, lebihkan seinci)

Bahan B
Santan pekat dari satu biji kelapa
3 keping asam gelugor
5 ulas bawang merah kecil, ditumbuk
4 ulas bawang putih, ditumbuk
1 inci halia, ditumbuk
Satu peket rempah kari Adabi, dibuat pes
Satu sudu makan cili boh (kalau tak suka pedas, tinggalkan)
1 cawan santan cair, dibancuh dengan sesudu makan asam jawa.
2 sudu makan gula merah/ kabung/ melaka (atau kalau di Kelantan dipanggil "manisan")
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara menyediakan:
• Rebus bahan A sehingga masak, dan renihkan selama setengah jam, kemudian ambil ikan sahaja dan ketepikan.
• Pijarkan minyak di dalam periuk
• Tumiskan bawang, bawang putih dan halia, sehingga naik bau
• Masukkan rempah kari dan cili boh (jika guna) dan goreng sehingga keluar minyak
• Masukkan santan cair yang telah dicampur dengan asam jawa dan ikan (ketepikan sekeping untuk sambal kelapa). Biarkan mendidih
• Masukkan santan pekat dan asam gelugor
• Bila mendidih masukkan gula merah
• Masukkan garam dan sesuaikan rasanya (kalau sudah masam, keluarkan asam gelugor)
• Biarkan renih selama 15 minit sebelum dihidangkan bersama nasi dagang.

Sambal kelapa untuk Nasi Dagang

Bahan-bahan:
Kelapa parut (sebiji), disangrai sehingga perang
4 sudu makan gula kabung (manisan)
Sekeping ikan tongkol rebus, asingkan isinya sahaja

Cara menyediakan:
• Tumbuk semua bahan-bahan sedikit demi sedikit. Pastikan kelapa tidak pecah minyaknya.
• Kalau tidak suka terlalu manis boleh kurangkan gulanya. Hidangkan nasi dagang dengan gulai ikan tongkol dan sambal kelapa.
• Boleh juga dimakan dengan sambal tumis dan acar timun.

No comments:

Post a Comment