SELAMAT DATANG MENJAMU SELERA
buatlah kerja macam seratus tahun lagi nak hidup(juga niat ibadah),
ibadah khusus macam sekejap lagi akan mati.
(asas dlm solat jangan tinggal berdosa!!!!!)
LCD Text Generator at TextSpace.net
LCD Text Generator at TextSpace.net
Sunday, 22 July 2012
pasang surut iman
MENYEBUT soal keimanan, ia waktu pasang dan surutnya bertambah atau berkurangan. Apabila bertambah amalan dan ketaatan, itu petanda iman sedang pasang manakala sekiranya semakin berkurangnya amalan dan bertambah pula kemaksiatan, itu tandanya iman semakin surut.
Sebagai renungan, mari sama-sama kita berkongsi kenapa dan apa sebabnya iman boleh menurun dan merosot supaya ia menjadi sempadan dan pedoman dalam menguruskan hati dan iman supaya sentiasa segar.
Antara sebab turunnya kadar iman seseorang kerana :
1)Kebodohan
Kebodohan adalah pangkal daripada pelbagai perbuatan buruk. Seseorang berbuat jahat boleh jadi kerana dia tidak tahu bahawa perbuatan itu dilarang agama.
Mereka juga mungkin tidak tahu ancaman dan bahaya yang akan dihadapinya kelak di akhirat atau ia tidak tahu keperkasaan Sang Maha Kuasa yang mengatur denyut jantungnya, mengatur musibah dan rezekinya.
2)Tidak peduli
Tidak peduli menyebabkan fikiran seseorang diisi dengan hal duniawi yang mereka sukai (yang dia pedulikan), sedangkan yang bukan dia sukai tidak diberi tempat di fikirannya.
Itu menyebabkan dia tidak ingat (zikir) kepada Allah, sifatnya tidak tulus, tidak mempunyai rasa takut dan malu (kepada Allah), tidak berasa berdosa (tidak perlu taubat) dan boleh jadi dia menjadi sombong kerana tidak merasakan pentingnya berbuat rendah hati dan sederhana.
Keengganan seseorang melakukan kebaikan padahal dia tahu hal itu diperintahkan Allah, maka dia termasuk orang yang menzalimi (melalaikan) dirinya sendiri.
Allah akan mengunci hatinya dari jalan yang lurus (Surah al-Kahfi 18:5) dan dia akan menjadi teman syaitan (Surah Thaaha 20:124).
Melupakan kewajipan dan kepatuhan seseorang dalam beribadah daripada sifat lalai atau lemah hatinya. Waktunya perlu didorong supaya dapat diisi dengan lebih banyak perbuatan amal soleh. Kalau tidak, kesenangan duniawi akan semakin menguasai dirinya hingga dia semakin jauh daripada mengingati Allah.
3)Berterusan melakukan perbuatan dosa
Awal daripada perbuatan dosa adalah sikap tidak patuh terhadap perintah dan larangan Allah. Perbuatan
dosa umumnya dilakukan secara bertahap, contohnya dimulai daripada zina pandangan mata yang dianggap dosa kecil kemudian berkembang menjadi zina tubuh. Dosa kecil yang dilakukan adalah proses pendidikan jahat untuk melakukan dosa besar. Justeru, jauhilah daripada melakukan dosa kecil sebelum ia tumbuh menjadi dosa besar.
4)Jiwa yang selalu mendesak melakukan perkara jahat
Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah mengatakan, Allah menggabungkan dua jiwa iaitu jiwa jahat dan jiwa yang tenang dalam diri manusia.
Mereka saling bermusuhan dalam diri seorang manusia. Ketika salah satunya kian lemah, maka yang lain akan terus kuat.
Perang antara kedua-duanya berlangsung sehingga mereka meninggal dunia. Sungguh rugi orang-orang yang jiwa jahatnya menguasai diri.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “...barang siapa yang diberi petunjuk Allah maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barang siapa yang disesatkannya maka tidak ada seorangpun yang dapat memberinya petunjuk”.
Sifat lalai, tidak mahu belajar agama, sombong dan tidak peduli adalah beberapa cara membenamkan jiwa jahat dalam tubuh manusia.
Sedangkan sifat rendah hati, mahu belajar, melakukan muhasabah diri adalah cara menguatkan jiwa kebaikan yang ada dalam tubuh kita.
Sebab-sebab luaran diri kita pula ialah:
5)Syaitan
Syaitan adalah musuh manusia yang sentiasa berusaha untuk merosakkan keimanan seseorang. Siapa saja yang tidak menghalangi dirinya akan menjerumuskan diri dalam kesesatan.
6)Pujukan dan rayuan dunia
Allah berfirman yang bermaksud: “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga mengenai banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu”.(Surah al-Hadiid 57:20).
Tujuan hidup manusia seluruhnya adalah untuk mengejar akhirat. Apapun kegiatan dunia yang kita lakukan seperti mencari nafkah, menonton televisyen, bertemu teman dan keluarga, semua itu bertujuan untuk meraih pahala di akhirat.
Ibnu al-Qayyim mengibaratkan hati sebagai wadah bagi tujuan hidup manusia (akhirat dan duniawi) dengan daya tampung tertentu.
7)Pergaulan buruk
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seseorang itu terletak pada agama teman dekatnya, sehingga masing-masing kamu sebaiknya melihat kepada siapa dia mengambil teman dekatnya” (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, al-Hakim, al-Baghawi).
Seorang teman yang soleh selalu memperhatikan perintah dan larangan Allah kerana dia selalu mengajak siapa saja orang di sekitarnya menuju ke arah kebaikan dan mengingatkan mereka apabila mendekati kemungkaran.
Bersahabat dengan orang soleh sangat penting untuk kita miliki pada zaman ini kerana pergaulan manusia sangat bebas dan tidak lagi memperhatikan nilai Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment